Rabu, 22 Februari 2017

Alhamdulillah, Sukarelawan Food Flotilla selamat pulang ke tanah air




Misi kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar berakhir selepas 20 hari dengan ketibaan kapal Nautical Alya yang selamat berlabuh di dermaga Boustead Cruise Centre di sini, 9.55 pagi tadi.

Kepulangan semua 184 sukarelawan itu disambut oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dan Ketua Misi itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Selain ahli keluarga, kepulangan mereka turut diiringi paluan kompang dengan tangisan kegembiraan dan rasa syukur sukarelawan.

Ia sekali gus melengkapkan pelayaran misi Food Flotilla For Myanmar yang menghantar 2,300 tan makanan dan ubat-ubatan ke wilayah Rakhine, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh sejak 3 Februari lalu.

Semua kru dan penumpang Nautical Aliya dalam keadaan sihat dan selamat.

Kapal kemanusiaan diterajui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, iaitu Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu disokong lebih 30 NGO ASEAN dan antarabangsa.

Sumber: Harian Metro

Maklumat Tambahan.

Kita berharap agar, misi bantuan kemanusiaan ke Rohingya tidak terhenti di situ. Dan, kita berharap agar dunia memberikan tekanan kepada Myanmar kerana jenayah penghapusan etnik yang mereka lakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan